News Update :
Home » , , , » Lelaki hina Sultan Johor akan didakwa

Lelaki hina Sultan Johor akan didakwa

Penulis : Unknown on Wednesday, December 22, 2010 | 10:08 PM

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Seorang lelaki yang membuka akaun laman sosial Facebook dengan tujuan memburukkan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail akan didakwa dalam tempoh terdekat.
Akaun Facebook terbabit memaparkan komen mengaibkan institusi diraja, diwujudkan selepas kemangkatan bekas Sultan Johor itu pada 22 Januari lalu.

Lelaki berusia 40 tahun yang bertanggungjawab membuka laman itu ditahan polis baru-baru ini akan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Suspek ditahan pada 29 November lalu di sekitar Lembah Klang setelah polis menerima lima laporan berhubung kewujudan akaun Facebook tersebut.

Siasatan berhubung akaun laman sosial berkenaan mengambil masa yang lama iaitu lebih sebulan kerana suspek menggunakan identiti pengguna Internet tanpa wayar yang telah dicuri.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, suspek menggunakan alamat e-mel: pendekar.bentan@gmail.com.
"Polis telah mewujudkan pasukan khas untuk menyiasat identiti suspek yang 'licik' menggodam Internet tanpa wayar individu lain bagi menyukarkan dirinya dikesan.

"Bagaimanapun, hasil kepakaran pasukan khas polis, suspek akhirnya berjaya dikesan. Malah, beberapa peralatan komputer turut dirampas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Dalam pada itu, Syed Ismail memberitahu, pihaknya sedang menunggu keputusan pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya, selepas kertas siasatan diserahkan.
"Polis telah memberi cadangan sewajarnya kepada DPP dan bila-bila masa dari sekarang sahaja suspek akan dituduh.
"Siasatan menunjukkan suspek yang bekerja sendiri pernah dibuang dari sebuah universiti di Lembah Klang dan menyertai sebuah pertubuhan Islam.
"Perjuangan dan ideologi pertubuhan terbabit menyebabkan suspek bertindak sedemikian. Bagaimanapun, pengetahuan dan pengalaman sendiri melalui Internet yang menjadikannya pakar menggodam Internet pengguna lain," katanya.

Syed Ismail menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati memastikan talian Internet yang telah didaftarkan memiliki ciri-ciri keselamatan supaya sukar digodam pihak yang tidak bertanggungjawab.
"Pengguna Facebook perlu berhati-hati dalam mendedahkan sebarang maklumat dan foto peribadi bagi mengelakkan daripada disalahgunakan oleh pihak lain.
"Orang ramai juga dinasihatkan bertanggungjawab atas setiap komen yang dipaparkan dalam Internet kerana polis mempunyai keupayaan untuk menyiasat dan mengheret mereka ke muka pengadilan," katanya.

Info : utusan
Share this article :
 
Design Template by ZoOM Team | Support by creating website | Powered by Blogger