News Update :
Home » , , » Bahasa di Radio Swasta

Bahasa di Radio Swasta

Penulis : Unknown on Monday, January 31, 2011 | 7:41 AM

Utusan Online
30 Jan 2011
Sitijarum

SALAH satu sebab Siti tak berapa gemar dengan sesetengah radio swasta adalah kerana bahasanya. Bagi Siti bahasanya boleh dikatakan biadap, walaupun bagi orang sekarang, “ala biasalah”.

Kalau orang kata dengar radio boleh menenangkan fikiran, bagi Siti beberapa deejay radio swasta boleh menaikkan darah.

Istilah macam “kau orang” yang disebut bunyinya “korang” saja, lepas itu memekik pendengar dengan “hoi” tak kira lagi yang deejay perempuan mengilai macam zombi, ketawa macam perempuan di lorong.

Masa sekolah dulu, cikgu Siti kata, kalau kita bercakap dengan orang, jangan membahasakan diri orang itu “kau” di depan majlis. Berhubung dengan pendengar adalah dikira rasmi. Tak elok sangatlah kalau memanjang istilah “kau orang”, “aku” dan “hoi” digunakan.

Orang kata, kalau cakap tertib rancangan radio itu “tak hidup”. Siti pun tak faham, adakah nak bagi hidup kita kena membiadapkan diri, guna istilah-istilah kasar dan umpama di pasar ikan Chow Kit? Barangkali kalau membahasakan pendengar sebagai “anda”, rancangan itu sudah jadi basi. Untuk tak nak basi, kenalah gunakan “kau orang”. Tolonglah jangan biadap sangat menggunakan istilah yang kasar dan terkeluar dari tatasusila Melayu.



Siti tegur ini sebab kebanyakan deejay itu Melayu. Yang bukan Melayu pula lebih tertib. Bahasa Melayunya jauh lebih elok daripada deejay Melayu yang kononnya nak “urban”. Eh, urban tu apa ya? Mungkin urban itu kena ketawa dan mengilai macam di lorong-lorong itu ya?

Adakah ini diterima sebagai nilai baru untuk masyarakat Melayu zaman baru? Perlakuan yang dulunya dianggap biadap, kini sudah diterima? Agaknya itulah makna kemajuan dan moden yang akhirnya kita terpaksa tersenyum bangga melihat anak-anak kita membahasakan “kau orang” dengan kita.

Peneraju stesen radio swasta juga kenalah peka kepada perkara begini. Gelagat deejay kena kawal juga. Kalau gelagat deejay macam tepi longkang, akhirnya stesen itu juga bertaraf tepi longkang.

Adakah anda deejay yang bijaksana memahami maksud ini?

SITI JARUM: Tak pernah ketawa mengilai...seramlah.
Share this article :
 
Design Template by ZoOM Team | Support by creating website | Powered by Blogger