News Update :
Home » , , , » MRR2 kini selamat digunakan - Shaziman

MRR2 kini selamat digunakan - Shaziman

Penulis : Unknown on Sunday, January 9, 2011 | 4:07 AM

KUALA LUMPUR 9 Jan. - Orang ramai yang menggunakan jejambat di Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) di Jalan Sungai Buluh-Kepong kini tidak perlu khuatir dengan keselamatan jejambat berkenaan kerana ia kini selamat untuk dilalui setelah struktur yang terjejas siap dibaik pulih semalam.


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, struktur yang terjejas itu iaitu rasuk silang pier 28 siap sepenuhnya semalam dengan menggunakan teknologi kabel keluli pra tegasan selepas teknologi dari Jerman yang digunakan sebelum ini mengalami kegagalan.


Pada Ogos 2008, serpihan konkrit perekat dari jejambat itu terjatuh ekoran tendon yang digunakan untuk mengukuhkan rasuk silang yang diperbuat daripada bahan Carbon Fibre Reinforced Polymer (CFRP) itu rosak akibat tindak balas kimia.



"Setelah kajian dibuat, Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat keputusan untuk mengganti tendon-tendon CFRP tersebut kepada tendon-tendon keluli.
"Kerja-kerja pembaikannya dimulakan pada 5 November 2009 dan 12 tendon CFRP telah siap diganti dengan tendon keluli pada 12 Disember 2010.


"Dengan penyiapan kerja-kerjanya, struktur pier 28 telah diperkukuhkan dan kini dijangka boleh digunakan sepanjang hayat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja menurunkan kerangka pengikat serta pelantar kerja bagi kerja baik pulih struktur itu di jejambat MRR2 Jalan Kepong-Sungai Buluh di sini malam tadi.


Sebelum ini kerja-kerja pengukuhan 26 rasuk silang di jejambat MRR2 Jalan Sungai Buluh-Kepong terjejas akibat berlaku kecacatan pada CFRP yang dipasang pada Pier 28.
Sebagai langkah keselamatan, JKR telah mengarahkan kontraktor terlibat, Syarikat Bridgex Sdn. Bhd. untuk memasang rangka pengikat dan jaring keselamatan di rasuk silang itu bagi tujuan pengukuhan semula.
Shaziman berkata sebagai langkah keselamatan, baki 25 rasuk silang pier telah dibalut dengan jaring keselamatan untuk mencegah kejadian yang menimpa pier 28 daripada berulang.
Katanya, keseluruhan kerja-kerja baik pulih itu akan mengambil masa dua tahun setengah untuk siap dengan melibatkan kos bernilai RM45 juta.
"JKR akan sentiasa membuat pemeriksaan dan penelitian ke atas pier-pier tersebut,” katanya. - Bernama
Share this article :
 
Design Template by ZoOM Team | Support by creating website | Powered by Blogger