Amukan Pocong Di Kaca TV
Penulis : Unknown on Monday, March 5, 2012 | 6:50 AM
KUALA LUMPUR, 2 MAC 2012: Demi memenuhi impian jahatnya, Long Hussien sanggup menuntut ilmu hitam yang akhirnya menjerat dirinya. Malah untuk berjaya dalam setiap permainan judinya, Long Hussien sanggup menerima tawaran bomoh siam yang agak keterlaluan iaitu perjanjian berdarah bersama pocong.
Nasib tidak menyebelahinya apabila dalam diam, akibat sikap tamak yang tidak dapat dibendung, Long Hussien dibunuh oleh dua rakannya yang membencinya secara senyap. Mati dalam keadaan yang teraniya, Long Hussien bangkit sebagai pocong dan perlu mencari darah 13 anak gadis sunti sebagai syarat untuk hidup kembali.
Itu merupakan sinopsis drama bersiri baru dalam slot Seram TV3, berjudul Pocong, di bawah arahan Aidil Fitri Mohd Yunos.
Tidak dinafikan, drama itu mampu membuatkan penonton yang menyaksikannya sentiasa diulit perasaan seram dan takut.
Jelas Aidil Fitri, seram yang dipaparkan sememangnya berbeza daripada drama hantu sebelum ini.
Malah katanya penceritaan dalam drama tersebut dihasilkan berlandaskan hasil rujukannya.
"Saya tahu, sudah terlalu banyak drama seram yang dipaparkan dalam televisyen, namun seram saya kali ini berbeza daripada yang selalu anda lihat.
"Sebagai contoh pocong yang saya jelmakan dalam drama tersebut, juga berbeza daripada yang selalu kita dengar mengenai pocong.
"Selalu kita dengar pocong akan melompat-lompat apabila muncul, namun setelah saya membuat kajian menerusi pembacaan bahan rujukan lama, pocong menjelma dalam bentuk lain.
"Pocong hadir secara berguling, meniarap serta kadang kala bergerak seperti seekor haiwan di tanah," katanya berbicara mengenai drama arahan terbarunya yang akan ditayangkan bermula 15 Mac ini setiap Khamis jam 9.30 malam di TV3.
Antara barisan pelakon yang terlibat ialah Azhan Rani, Elly Mazlein, Ezany Nizariff, Iqram Dinzly, Hady Taher, Elly Mazlein, Roslan Salleh, Liza Abdullah.
Tambah Aidil Fitri, selain kemunculan pocong itu sendiri yang menyeramkan, cara kematian 13 gadis sunti itu sendiri sudah menimbulkan rasa seram dan menakutkan.
"Elemen kematian setiap gadis sunti itu sendiri sememangnya menakutkan. Setiap gadis sunti itu, akan menemui kematian dalam keadaan yang sadis serta menakutkan seperti terjatuh di pokok dan sebagainya,"katanya.
Ditanya adakah sepanjang penggambaran drama bersiri tersebut krew produksi termasuk dirinya diganggu oleh benda-benda yang tidak sewajarnya, kata Aidil Fitri terdapat dua kejadian pelik telah berlaku.
"Kejadian yang saya lihat ketika itu, ada orang melambai-lambai dari sebatang pokok langsat dan saya mula rasa pelik. Apabila dirisik barulah saya tahu rupanya ada kejadian bunuh diri pernah terjadi di situ.
"Gangguan kedua pula berlaku di kawasan bangunan lama yang terbengkalai pembinaannya.
"Ketika pekerja produksi sibuk mencari sudut yang sesuai, tiba-tiba saja saya nampak seorang wanita berpakaian putih dan bertudung lalu melintas di hadapan kamera. Pelik juga kerana sejak bila ada wanita bertudung.
"Setahu saya, tiada seorang pun pekerja produksi kami yang bertudung. Enggan berfikiran negatif, saya hanya menguatkan semangat untuk menyiapkan penggambaran," jelasnya.
Info : Murai Online
Related posts:
If you enjoyed this article just click here, or subscribe to receive more great content just like it.
Labels:
artis malaysia,
Berita Semasa,
Drama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)