GENRE: Peperangan, Aksi, Drama
PENGARAH: Mike McCoy & Scott Waugh
PELAKON: Roselyn Sanchez, Nestor Serrano, Emilio Rivera, U.S. Navy SEALs
EDARAN: Relativity Media
Sekali Imbas
Filem peperangan yang menjadi tarikan kerana menggunakan tentera sebenar U.S Navy SEALs sebagai pelakon aksi selain taktik peperangan dan senjata yang biasa digunakan barisan tentera Amerika. Filem Act of Valor juga khabarnya dirakamkan menggunakan kamera SLR dan berkantakan Carl Zeiss AG yang sering terdapat dalam kamera kegunaan harian.
Ulasan Penuh
Penulis mula melihat promosi filem ini ketika bermain permainan video Battlefield 3 untuk konsol PS3. Dari promosi tersebut, dikatakan Act of Valor menceritakan perjuangan tentera U.S Navy SEALs dalam menjalankan misi mereka menyelamatkan tebusan dan memerangi pengganas.
Sejujurnya, penulis bukanlah seorang yang pro Amerika dan seboleh-bolehnya ingin mengelakkan diri dari pelbagai propaganda negara Uncle Sam itu. Namun sedikit sebanyak, perasaan ingin tahu bagaimana apabila segala taktik peperangan dan senjata sebenar bakal ditayangkan dalam filem ini, penulis tidak teragak-agak untuk pergi menontonnya.
Selesai menonton, nyata filem ini tidak kurang menariknya. Benar, filem ini sememangnya diterbitkan untuk menayangkan betapa hebatnya tentera Amerika tak kira sama ada dari segi senjata, keberanian, taktik dan teknik perang serta sifat jatidiri yang sayangkan negara.
Malah ketika artikel ini ditulis, Act of Valor khabarnya telah pun mencapai kutipan lebih USD 9 juta (RM 27 juta) di Amerika dan sedang mendominasi carta kutipan tertinggi filem di sana. Kutipan itu dijangka bertambah sehingga USD 20 juta menjelang hujung minggu ini.
Suka atau tidak, penulis terpaksa mengakui menyimpan perasaan kagum ketika menonton Act of Valor.
Selain paparan aksi yang hebat, sinematografinya juga amat cantik terutama ketika babak di dalam hutan dan teknik pencahayaan yang bagus ketika waktu senja.
Terkejut penulis apabila mendapat tahu kamera yang digunakan sepanjang penggambaran filem ini ialah dari jenis Canon EOS 5D Mark II menggunakan kanta Zeiss ZE dan Panavision Primo.
Produk seperti ini sememangnya mudah didapati di pasaran dan digunakan orang kebanyakan dalam kehidupan seharian.
Pelakonnya pula terdiri mereka yang kurang dikenali dan ditambah pula dengan tentera-tentera sebenar Navy untuk mempamerkan aksi yang realistik ketika pertempuran.
Teknik dan taktik ketika menyerang hendap dan menyelamatkan tebusan pula agak berlainan dari yang kita pernah tonton sebelum ini.
Mungkin ini satu titik baru untuk kita mengenali bagaimana tentera sebenar bertugas di luar sana.
Namun di sebalik segala kehebatan tersebut, Act of Valor tidak dapat lari dari pelbagai adegan dan babakklise. Contohnya, sesiapa di kalangan askar yang sebelum turun berperang, secara tiba-tiba teringat keluarga dan merancang memulakan hidup baru selepas segalanya tamat, bakal menemui ajal ketika menjalankan misi.
Golongan pengganas pula kalau bukan golongan Arab (dan Muslim), mestilah dikalangan mereka yang berketurunan Latin atau berasal dari negara-negara seperti Russia atau Ukraine.
Jarang kita lihat penjenayah sebenar berasal dari orang Amerika sendiri atau berketurunan British.
Keseluruhan, Act of Valor sememangnya menghiburkan. Namun entahlah, kenapa mesti Amerika yang terhebat dari segala-galanya?
Sipnosis
Sekumpulan tentera elite Navy SEALs telah ditugaskan menyelamatkan seorang agen CIA yang kini menjadi sindiket pengedaran dadah di Costa Rica. Misi mereka kemudiannya menemui fakta terbaru apabila sindiket dadah ini rupa-rupanya bekerjasama dengan kumpulan pengganas yang kini sedang berleluasa di Asia Timur.
Lebih menakutkan, kumpulan pengganas ini sedang merancang untuk mengulangi semula tragedi 11 September, cuma kali ini dengan sasaran yang lebih besar dengan jumlah mangsa terkorban yang ngeri untuk dibayangkan.
Mampukan tentera ini menghalang misi pengganas tersebut?
Info : Murai Online